MARABAHAYA - PROJECT EAR

Monday, August 30, 2010

Khidmat Masyarakat





Dalam bulan ramadhan yang penuh keberkatan ini, Kelab Belia Generasi Aktif Meru Perdana telah menjalankan satu aktiviti ziarah sebuah keluarga yang kurang berkemampuan yang menetap di Jalan Nenas, Meru.

Keluarga En Halim dan isteri beliau Pn Hamidah yang telah menetap di Jalan Nenas hampir 7 tahun dan tidak pernah pulang beraya di kampung halaman di Baling, Kedah kerana kurang kemampuan untuk berbuat demikian.

Pada awalnya, kami mendapat aduan tentang anak sulong mereka yang bernama Noredayu yang mana sepatutnya bersekolah menengah namun tidak dapat bersekolah kerana kurang kemampuan. Sdr Mohd Faizal selaku penaung dibantu Sdr Fauzi (timbalan pengerusi) dan juga Sdr Syafiq (setiausaha kehormat) telah mengambil tindakan untuk mengenal pasti permasalahan yang dihadapi. Setelah membuat lawatan dan sessi temuduga, masalah kekeliruan dalam penyediaan borang pertukaran dan masuk sekolah menengah yang telah menidakkan Noredayu memasuki tingkatan satu pada tahun 2009. Penaung juga telah mengambil tindakkan yang pantas untuk membantu Noredayu agar dapat bersekolah seperti remaja lain dengan secepat mungkin memandangkan Noredayu telah ketinggalan selama 1 tahun 6 bulan berbanding remaja lain. Hasilnya Noredayu telah berjaya ditempatkan di SMK Meru untuk menduduki tingkatan dua. Ini semua setelah dibantu oleh Sdr Faizal yang telah bertemu En Ahmad Shaari (Guru Besar SK Meru) dan juga En.Norrifin Mohd Ali (Pegawai Pendidikan Daerah Klang). Harapan mereka agar pelajar ini tidak ketinggalan dan mampu bersaing serta berjaya satu hari kelak bagi membantu keluarga yang serba kekurangan.

Pada hari Ahad yang lepas iaitu 29 Ogos 2010, kelab telah menjalankan sebuah program ziarah ke rumah mereka bagi menyampaikan sedikit bantuan dan juga dokumen dari PPD Klang untuk Noredayu menyambung pendidikannya. Kelab serta Pemuda Meru Perdana telah menyumbangkan barangan dapur, pakaian serta wang tunai bagi membantu keluarga ini. Wakil dari Kelab diketuai oleh Penaung, Sdr Mohd Faizal, Sdr Fauzi, Sdr Syafiq, Sdri Maryna, Sdri Salyna dan juga Sdr Norashikin telah melawat keluarga ini bagi menyampaikan sumbangan tersebut.

Pengurusan kelab berharap adik Noredayu dapat belajar dengan bersungguh-sungguh dan mencapai kejayaan satu hari kelak bagi membantu keluarga dan adik-adiknya yang lain.

Pengurusan kelab juga telah menyatakan program bantuan seperti ini akan tetap diteruskan bukan hanya terhad didalam bulan ramadhan sahaja.

Sesiapa yang hendak mencadangkan mereka-mereka yang perlu dibantu boleh berhubung dengan pengurusan kelab untuk program kebajikan ini diteruskan.

Pengurusan kelab juga ingin menggalakkan kepada semua ahli atau sesiapa sahaja untuk bersama menjadi sukarelawan bagi melancarkan tugas murni  ini.

Semoga segala usaha murni anda diberkati.

No comments:

Post a Comment